Ibu bapa diminta beri nasihat kepada anak-anak agar terus membina kerjaya dan bukan menamatkan usia remaja dengan perkahwinan.
NASIONAL

Tetapkan 18 tahun had minimum kahwin

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JUL: Srikandi KEADILAN Selangor menggesa Kerajaan menggubal undang-undang menetapkan 18 tahun sebagai had umur minimum perkahwinan, selaras iltizam empat dalam Iltizam Khusus Untuk Wanita, Buku Harapan.

Ketuanya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun bersama kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

“Perlindungan ke atas kanak-kanak harus menjadi prioriti utama dalam institusi kerajaan dan undang-undang supaya hak mereka tidak dirampas atas nama agama dan kerelaan sendiri.

“Kanak-kanak juga tidak boleh dibiar menjadi komoditi jual beli dalam masyarakat, maka kita perlu mempertahankan hak mereka,” katanya dalam kenyataan.

Nurainie berkata, beliau kesal membaca berita perkahwinan itu yang semakin tular di laman sosial.

Beliau turut mengecam keras tindakan terbabit, malah lebih membimbangkan ia berlaku kerana pasangan berkenaan berkahwin di Thailand dan tidak mempunyai kebenaran bertulis dari mahkamah.

“Saya percaya kanak-kanak bawah 18 tahun harus berada di sekolah, belajar dan berusaha mencapai impian mereka, bukan didedahkan kepada perkahwinan.

“Selain itu, enakmen Undang-undang Syariah Keluarga Islam juga jelas memperuntukkan umur minimum perkahwinan tidak kurang daripada 18 tahun.

“Jika mana-mana wanita bawah 16 tahun bercadang untuk berkahwin, mereka perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah,” katanya.

 


Pengarang :