NASIONAL

Tiada jangka masa spesifik pelaksanaan pemberian royalti minyak

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Kerajaan Persekutuan tidak menetapkan sebarang jangka masa spesifik untuk melaksanakan pemberian 20 peratus royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaksanaannya tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta syarat semasa yang perlu dipatuhi seperti klausa terkandung dalam perjanjian antara PETRONAS-Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS-Kerajaan-Kerajaan Negeri.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PAKATAN) ketika menggubal Buku Harapan mencadangan menambah jumlah royalti petroleum kepada 20 peratus adalah berdasarkan keuntungan PETRONAS selepas cukai dan bukan daripada jumlah hasil pengeluaran kasar.

“PAKATAN telah membuat analisis struktur kos pengeluaran petroleum oleh PETRONAS. Analisis ini dibuat dalam keadaan kekangan data dan maklumat pada ketika itu untuk melihat peratusan jumlah royalti petroleum bagi negeri pengeluar petroleum wajar ditingkatkan kepada 20 peratus.

“Namun, cadangan ini tidak dapat dilaksanakan segera kerana ianya bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA 1974) kerana pengiraan adalah berdasarkan keuntungan kasar dan bukannya atas keuntungan bersih. Oleh demikian, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanakan, ianya memerlukan pindaan ke atas PDA 1974.

“Di samping itu, sekiranya PETRONAS dikehendaki menambah jumlah royalti petroleum kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar petroleum kepada negeri pengeluar minyak, ianya akan memberi implikasi serius terhadap kedudukan kewangan PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau dalam sesi Jawab Lisan, Dewan Rakyat.

Mohamed Azmin berkata menerusi Buku Harapan, mereka turut mengemukakan usaha untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak dan melaksanakan secara adil Perjanjian Malaysia 1963 yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan.

Selain itu, mekanisma pembayaran royalti petroleum perlu diperhalusi Kerajaan dan PETRONAS serta akan dibincangkan dengan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas untuk mencapai kata sepakat.

“Antara tugas Jawatankuasa ini adalah untuk mengkaji dan mencadangkan langkah pembetulan dalam beberapa hal termasuk hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas.

“Untuk mengekalkan keyakinan pelabur asing dalam industri minyak dan gas, penelitian terperinci juga perlu diambil bagi mengelakkan aktiviti pengeluaran minyak dan gas PETRONAS khasnya di Sabah dan Sarawak terjejas kerana peningkatan bayaran tunai kepada 20 peratus yang sudah tentu memberi kesan kepada perjanjian Production Sharing Contract (PSC) dan Risk Services Contract (RSC) sedia ada antara PETRONAS dan rakan niaganya,” katanya.


Pengarang :