NASIONALPENDIDIKAN

Tidak lokek ilmu, rahsia pelajar UKM raih kejayaan di Harvard University

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JUL: Tidak lokek ilmu, begitulah rahsia kejayaan yang dikongsikan Mohd Nuriman Nawi yang ditawarkan menjadi Felo dalam bidang Fizik Gunaan di Harvard University, United States.

Biarpun sibuk menjalankan kajian dan penyelidikan, pelajar tahun akhir, Ijazah Doktor Falsafah di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanolectronik (IMEN) Universiti Kebangsaan Malaysia itu sentiasa mengamalkan prinsip rendah diri, biarpun cemerlang dalam pelajarannya.

“Sikap adalah segala-galanya. Apabila kita menceburi sesuatu bidang, sikap yang positif adalah sangat-sangat diperlukan dalam melakukan penyelidikan.

“Kita jangan sesekali malu untuk bertanya dan walaupun kita sibuk dengan penyelidikan yang dibuat, janganlah kita lokek untuk berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang lain,” katanya ketika ditemubual portal universiti itu.

Berkongsi detik penerimaan tawaran dari Universiti terkemuka itu, Mohd. Nuriman berkata, beliau telah diperkenalkan oleh penyelianya kepada seorang profesor di Harvard University.

“Penyelia saya, Dr. Ahmad Rifqi adalah seorang penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam teknologi fabrikasi peranti yang tersangat kecil dan juga merupakan rakan penyelidik kepada profesor tersebut.

“Beliau telah datang ke persidangan di Malaysia sebagai pembicara utama dan kami telah bersua ketika sesi persidangan di mana saya telah menjadi salah seorang pembicara.

“Dari situ secara tidak langsung beliau telah menemuduga dan berminat dengan kerja-kerja yang dijalankan oleh kumpulan kami di IMEN dan menjemput kami ke Harvard sebagai felo untuk berkongsi dan melakukan penyelidikan di sana,” katanya.

Katanya, disebabkan kekangan masa, beliau telah dijemput untuk melakukan penyelidikan selama enam bulan dan kemudiannya pulang ke Malaysia untuk mempertahankan tesis sebelum menjadi graduan UKM.

“Setelah selesai penyelidikan di IMEN, saya boleh kembali semula ke Harvard untuk meneruskan penyelidikan selama tempoh maksimum lima tahun atau sehingga selesai penyelidikan di sana,” katanya.

Mohd Nuriman sebelum ini memulakan penyelidikan terhadap pengesan cahaya, seterusnya membuat penyelidikan terhadap peranti pengesan cahaya berdasarkan grafin atau bahan dua dimensi lain.


Pengarang :