BERITA UTAMASELANGOR

Tien Chee pemimpin dedikasi, kehilangan besar buat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUL: Pemergian Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee dianggap satu kehilangan besar kepada kepimpinan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan, wakil rakyat itu sebagai pemimpin berdedikasi dan sentiasa menyumbang idea kepada pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, Tien Chee sentiasa komited menyuarakan pandangan di Dewan Negeri Selangor sepanjang tempoh dua penggal menjadi ADN, bermula 2013.

“Dari awal saya mengenali mendiang, beliau tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.

“Beliau juga giat aktif dalam Pakatan Harapan Selangor menerusi Unit Tindak Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Pemergian Saudara Eddie sudah pasti kehilangan yang amat besar buat Pakatan Harapan dan kekosongan yang ditinggalkan beliau sudah pasti turut dirasai oleh penduduk di kawasan Balakong dan rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Tien Chee dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, di Cheras, awal pagi ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar, Dato’ Menteri Besar Selangor, Fareed Asharee.

Sumber polis mendedahkan, kemalangan itu berlaku di kilometer 12, Lebuhraya Cheras- Kajang.

Dilaporkan, kenderaan mangsa dipercayai dipandu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kajang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Tien Chee yang bertanding atas tiket KEADILAN menang dan berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong dengan perolehan undi sebanyak 41,768 undi, dalam saingan tiga penjuru.


Pengarang :