SELANGOR

Tingkat hasil pertanian guna teknologi moden

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JULAI: Sebanyak RM107,750 diperuntukkan melalui Program Penyampaian Insentif Penerima Sijil MyGap (Malaysia Goods Agricultural Practices) kepada petani sekitar Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ia bagi menggalakkan petani menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan hasil pertanian.

“Diharap bantuan peralatan dan insentif yang diberikan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan petani terbabit.

“Melalui insentif ini juga, ia menggalakkan amalan pertanian supaya persekitaran kita terpelihara dan hasil meningkat menggunakan teknologi moden,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Raya Jabatan Pertanian di Kompleks Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor dan penyerahan Program Penyampaian Insentif Penerima Sijil MyGap kepada 90 petani.

Juwairiya berkata, MyGap adalah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).

“MyGAP adalah skim pensijilan komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan.

“Persijilan itu penting supaya produk pertanian dihasilkan diiktiraf sebagai selamat untuk dimakan,” katanya.


Pengarang :