SELANGOR

Tolak dakyah politik propaganda Umno-MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 23 JULAI: Pentadbiran Barisan Nasional akan menggunakan dakyah propaganda politik perkauman untuk memburukkan imej KEADILAN, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.049 Sungai Kandis.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, parti itu sudah ketandusan idea dan sengaja memainkan sentimen politik murahan untuk meraih undi.

“Apabila mereka mengumumkan Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon, lihat sahaja perkara pertama dimainkan calon itu adalah isu perkauman.

“Mereka menggunakan isu yang tidak pernah wujud, memfitnah dan menggunakan politik propaganda serta provokasi untuk melemahkan Pakatan Harapan,” katanya.

Namun kata Amirudin, isu berkenaan tidak akan mematahkan sokongan berterusan masyarakat terhadap kepimpinan di Putrajaya dan Kerajaan Selangor.

“Kita tidak perlu ambil kira dakyah politik sempit ini kerana keutamaan calon dan pimpinan Kerajaan Negeri adalah turun di lapangan dan mendekati pengundi.

“Ketepikan sentimen politik, agama dan perkauman serta fokus kepada gerak kerja kempen untuk mengekalkan KEADILAN di Sungai Kandis,” katanya.

Terdahulu, Amirudin bercakap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Utama Parti KEADILAN Rakyat N.049 Sungai Kandis di Jalan Bukit Kemuning, semalam.


Pengarang :