NASIONAL

TPM: Kerajaan komited naik had umur kahwin kanak-kanak

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 7 JUL: Kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu perkahwinan kanak-kanak dan kini komited meningkatkan umur minimum 16 tahun kepada 18 tahun.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu sedang dipertimbangkan dan kementerian mengambil maklum kebimbangan disuarakan Suhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenainya.

“Cadangan meningkatkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk kedua-dua jantina sedang diperhalusi beberapa kementerian dan agensi seperti ditegaskan dalam kenyataan saya pada 2 Julai lalu.

“Perkara ini adalah sejajar dengan manifesto Buku Harapan dan semua pihak berkaitan sedang giat membincangkan mekanisme pelaksanaan sebelum ianya dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya tidak mempunyai autoriti untuk menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada berkaitan kelulusan dan pengendalian urusan perkahwinan kanak-kanak itu.

“Ini kerana perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa kementerian,” katanya.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan membentangkan pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun pada persidangan Dewan Rakyat bermula 16 Julai depan.

Isu berkaitannya mendapat perhatian ramai selepas seorang lelaki 41 tahun dari Kelantan mengahwini seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun di Thailand, baru-baru ini.


Pengarang :