NASIONAL

TPM rasmi Kayuhan Amal Chefs Funride KL 2018

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Lebih 1,000 peserta menyertai program Kayuhan Amal Chefs Funride Kuala Lumpur (KL) 2018 anjuran Yayasan Generasi Malaysia (YGM) dan cef-cef daripada seluruh negara di Dataran Merdeka pagi ini.

Kayuhan membabitkan jarak kira-kira 17 km itu bermula di hadapan Dataran Merdeka di sini dan melalui beberapa jalan utama di ibu kota iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, jalan sekitar KLCC, Jalan Raja Abdullah, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail (melalui Pusat Dagangan Dunia Putra) dan kembali ke Dataran Merdeka.

Upacara pelepasan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 7.30 pagi.

Cef Sabri Soid daripada Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur yang menyertai kayuhan amal itu berkata penyertaan itu terbuka kepada golongan cef daripada seluruh negara dan orang ramai, dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi membantu cef yang menghadapi masalah kesihatan, kewangan dan sebagainya.

“Program kayuhan ini akan diteruskan pada masa depan dengan kerjasama Yayasan Generasi Malaysia dan cef-cef Malaysia yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat tetapi turut menghulurkan bantuan kepada cef yang memerlukannya,” katanya ketika ditemui Bernama.

Penaja utama kayuhan amal itu ialah Widad Business Group dan dianjurkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Sukan Negara (MSN), kata Sabri.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :