NASIONAL

Tun M: “Siapa makan cili dia rasa pedas”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan terdapat pihak terasa dengan ungkapan “sila duduk dan jangan lari” yang dititahkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V, pagi tadi.

“Siapa yang makan cili dia terasa pedas,” kata Mahathir apabila ditanya wartawan berkenaan ‘usikan’ Sultan Muhammad V sebelum bersemayan di Peterana Diraja.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Ke-14 2018 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat gamat apabila sebelum menyampaikan titah ucapan perasmian baginda sempat bertitah supaya Ahli Dewan Rakyat duduk dan jangan lari.

Titah baginda itu menggamatkan hari pertama Persidangan Dewan Rakyat.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan tindakan segelintir pihak yang memainkan sentimen agama dan bangsa, Mahathir menegaskan supaya semua pihak menghormati agama dan bangsa lain.

“Rasis ini ialah supaya dalam semua perkara kita harus sederhana dan kita bertimbang rasa terhadap agama berlainan daripada kita dan mereka juga harus hormati agama kita. Kalau kita mula mencabul agama lain, kita akan terima padahnya,” katanya.

Ketika mengulas perjalanan persidangan Dewan Rakyat nanti, Mahathir memberi jaminan tiada sekatan dikenakan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang ingin berbahas.

Bagaimanapun katanya, di pihak kerajaan, beliau akan pastikan rang undang-undang berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

“Kita dah umum sekarang sifar GST jadi apa yang kita perlu pastikan adalah parlimen memansuhkan undang-undang itu,” katanya.


Pengarang :