NASIONAL PENDIDIKAN

UKM sumbang RM13,000 buat Rohingya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUL: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyalurkan sumbangan lebih RM13,000 kepada Tabung Bantuan Rohingya.

Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM, Prof Datuk Dr Rokiah Omar berkata, bantuan disalurkan melalui Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) itu dijalankan sejak September tahun lalu.

“UKM menggerakkan tabung itu melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di ketiga-tiga kampus UKM, dalam tempoh dua minggu, kita berjaya mengumpul RM13,639.95.

“Sumbangan itu adalah untuk jangka panjang dengan memfokuskan kepada klinik ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak di sana,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bantuan Rohingya di Pejabat Mercy Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ir Amran Mahzan berkata, Mercy Malaysia membina hospital di Bangladesh bagi memudahkan bantuan perubatan disalurkan.

“Kita sentiasa menghantar doktor untuk memberikan perkhidmatan perubatan kepada pelarian di sana.

“Walaupun mereka yang pergi adalah secara sukarela, tetapi masih terdapat kos tempat tinggal, makanan dan keselamatan yang perlu diambil berat,” katanya.


Pengarang :