NASIONAL

Usia mengundi perlu diturunkan, BTN dimansuhkan

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 10 JUL: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pendiriannya terhadap cadangan agar usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Katanya, beliau komited untuk menjadikannya kenyataan dalam penggal pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sekarang.

Beliau berkata, hal itu kerana semua pihak tidak harus memandang rendah kebijaksanaan mereka berusia 18 tahun.

“Minda pengundi muda adalah lebih terbuka, mereka juga terbuka kepada dialog dan forum serta berminat dengan Malaysia yang pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Perubahan Landskap Politik dan Aspirasi Belia, di Sunway University, di sini, semalam.

Syed Saddiq berkata insentif besar turut akan diberikan kepada parti politik supaya mendampingi kumpulan terbabit sebaik pengumuman anak muda berusia 18 tahun layak mengundi.

Pada masa sama, beliau mahu konsep memperkenalkan identiti Malaysia dalam kalangan orang muda diperbaharui bagi mencapai matlamat terbabit.

Sementara itu, Syed Sadiq berkata Biro Tatanegara (BTN) akan dimansuhkan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak mahu BTN, ia akan dimansuhkan,” katanya.

 


Pengarang :