SELANGOR

Usul dua penggal jawatan, MB serah pimpinan tertinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUL: Kerajaan Negeri belum memutuskan untuk membawa usul bagi mencadangkan tempoh jawatan Dato’ Menteri Besar dihadkan sehingga dua penggal sebagai enakmen seperti yang dilaksanakan Melaka.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagaimanapun berkata, beliau menyerahkan kepada pimpinan tertinggi sekiranya memutuskan untuk diikuti negeri lain.

“Ia bergantung kepada polisi Pakatan Harapan (PAKATAN), tetapi pada ketika ini belum ada arahan ia akan dimuktamadkan dalam enakmen.

“Saya menyerahkan kepada pimpinan tertinggi untuk dilihat dari sudut kaedah, polisi dan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis.

Amirudin berkata, pelaksanaan itu akan menyebabkan implikasi besar kerana membabitkan pengubahan undang-undang tubuh dan perlembagaan negeri.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Melaka membawa usul bagi mencadangkan tempoh jawatan Ketua Menteri Melaka dihadkan sehingga dua penggal sebagai satu enakmen, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, pihaknya kini dalam proses memuktamadkan perincian cadangan serta enakmen berkenaan dan berharap usul itu dapat dibawa ke Persidangan DUN Melaka pada sekitar bulan depan.

Adly berkata, apabila cadangan itu dijadikan satu enakmen, maka ia akan termaktub kepada jawatan ketua menteri Melaka itu sendiri dan terpakai kepada sesiapa sahaja yang akan menjadi Ketua Menteri Melaka pada masa akan datang.


Pengarang :