SUKANKINI

WC2018: Cavani pastikan Ronaldo ‘teman’ Messi pulang

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 1 JUL: Uruguay mememastikan juara Piala Eropah 2016, Portugal tersingkir daripada meneruskan kemaraan dalam Piala Dunia 2018 apabila menang 2-1, hasil jaringan penyerang berbisa, Edinson Cavani, pada pusingan 16 pasukan terbaik, awal pagi tadi.

Aksi babak pertama menyaksikan Portugal bermula garang apabila melakukan percubaan seawal minit kedua menerusi Bernardo Silva tetapi tandukannya tinggi tersasar.

Cristiano Ronaldo turut menguji gawang Uruguay, pada minit kelima tetapi rembatan pemain Real Madrid itu tepat ke penjaga gol, Fernando Muslera.

Sebaliknya Uruguay mencipta kejutan apabila mendahului Portugal 1-0, pada minit ketujuh menerusi tandukan Edinson Cavani.

Bermula daripada gerakan Cavani sendiri, Luis Suarez yang menerima hantaran tepat tidak membuang masa melencongkan semula bola ke gawang Portugal sebelum Cavani melakukan tandukan tepat ke gawang menewaskan penjaga gol, Rui Patricio.

Suarez hampir menjadikan kedudukan Uruguay bertambah selesa, pada minit ke-21 tetapi sepakan percuma rendah beliau berjaya ditepis Rui Patricio.

Ronaldo turut gagal menyempurnakan sepakan percuma, pada minit ke-32 apabila percubannya terkena benteng pertahanan Uruguay.

Di penghujung babak pertama, Cavani berpeluang menggandakan jaringan tetapi rembatannya gagal menepati sasaran.

Kekebalan benteng pertahanan Uruguay akhirnya roboh, pada minit ke-55 apabila pemain pertahanan, Pepe berjaya melonjak tinggi untuk menanduk hantaran lintang Raphael Guerreiro bagi gol penyamaan 1-1 buat Portugal.

Jaringan itu hanya bertahan selama tujuh minit sebelum Cavani kembali meletakkan Uruguay di hadapan, pada minit ke-62.

Bermula daripada tolakan Rodrigo Bentancur, Cavani yang tidak dikawal mudah melepaskan rembatan lencong ke sebelah kanan gawang Portugal tanpa mampu diselamatkan Rui Patricio.

Tetapi malang buat Uruguay apabila Cavani tidak mampu meneruskan permainan dan dikeluarkan, pada minit ke-74 susulan kecederaan betis.

Di penghujung permainan, Cristian Rodriguez berpeluang menjaringkan gol ketiga tetapi beliau gagal menampan kemas hantaran Suarez.

Ricardo Quaresma turut mencuba nasib sebelum wisel penamat dibunyikan tetapi percubannya berjaya dihalang Muslera dan keputusan 2-1 kekal memihak Uruguay yang mara ke suku akhir.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018


Pengarang :