SUKANKINI

WC2018: Croatia mara ke suku akhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 2 JUL: Croatia meneruskan rekod tanpa kalah dalam aksi Piala Dunia 2018 apabila menempah tempat ke suku akhir menerusi sepakan penalti 3-2, menewaskan Denmark selepas perlawanan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit permainan.

Penjaga gol Croatia, Danijel Subasic muncul wira pasukan apabila menyelamatkan tiga daripada lima sepakan penalti Denmark bagi menebus kesilapan awal permainan sebelum Ivan Rakitic menyempurnakan penalti terakhir untuk meneruskan perjuangan Croatia.

Denmark di hadapan 0-1 seawal 58 saat perlawanan bermula hasil jaringan Mathias Joergensen susulan kegagalan penjaga gol Croatia, Danijel Subasic menampan kemas percubaan yang akhirnya melintasi gawang.

Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Mario Mandzukic menyamakan kedudukan 1-1 buat Croatia dua minit kemudian apabila berjaya memanfaatkan hantaran Sime Vrsaljko yang gagal dikeluarkan kemas pertahanan Denmark.

Aksi terus rancak apabila Ivan Rakatic melakukan percubaan deras dari luar kotak penalti, pada minit ke-29 yang memaksa penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel menampan keluar bola dan disusuli rembatan tinggi Ivan Perisic.

Rakitic terus mendatangkan ancaman kepada Denmark apabila melakukan rembatan terus selepas menyambut hantaran Ivan Strinic, pada minit ke-44 yang berjaya dikawas Schmeichel.

Kedua pasukan saling mengasak tetapi gagal menjelmakan jaringan kemenangan sehingga perlawanan berlarutan ke masa tambahan.

Croatia dihadiahkan sepakan penalti, pada babak kedua masa tambahan tetapi ketua pasukan, Luka Modric gagal berbuat demikian apabila sepakan penaltinya diselamatkan Schmeichel.

Menuju penentuan sepakan penalti, Subasic bertindak lebih cemerlang apabila menyelamatkan tiga sepakan Denmark sementara Ivan Rakitic memastikan tendangan terakhir menerjah jaring bagi memastikan Croatia mara ke suku akhir.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup


Pengarang :