SUKANKINI

WC2018: Gol Umtiti bawa Perancis ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

SAINT PETERSBURG, 11 JUL: Gol Samuel Umtiti melayakkan Perancis ke perlawanan akhir Piala Dunia apabila menewaskan Belgium 1 – 0 di Stadium Saint Petersburg di sini.

Jaringan pertahanan Barcelona pada awal babak kedua menjadi pemisah kepada kedua pasukan dalam perlawanan separuh akhir itu, selepas empat puluh lima minit pertama berlalu tanpa cetakan gol.

Gol Umtiti pada minit ke 51 berpunca daripada sepakan sudut Antoine Griezmann disambutnya dengan satu tandukan mengelirukan melepasi kawalan pertahanan dan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Belgium diketuai Eden Hazard dibantu Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku menguasai permainan di peringkat awal, sering menyerang dan mengancam Perancis namun diselamatkan kecekapan ketua pasukan, Hugo Lloris mengawal pintu gol.

Lloris turut menafikan percubaan Axel Witsel pada sepuluh minit terakhir perlawanan bagi menghidupkan peluang skuad kendalian Roberto Martinez itu.

Perancis sebaliknya juga hampa bagi menambah gol menerusi Kylian Mbappe dan Griezmann yang melihat percubaan mereka tersekat dengan tindakan cemerlang Courtois.

Skuad bimbingan Didier Deschamps akan menanti pemenang antara England dan Croatia untuk bertemu dalam perlawanan akhir di Moscow, 15 Julai ini.


Pengarang :