SUKANKINI

WC2018: Mbappe bantu Perancis pastikan Argentina tersingkir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 1 JULAI: Kylian Mbappe muncul sebagai wira apabila mencipta dua gol bagi membantu Perancis menyingkirkan Argentina 4-3 pada peringkat 16 pasukan terbaik Piala Dunia Rusia 2018.

Perancis terlebih dahulu dihadapan 1-0 menerusi penalti yang disempurnakan Antoine Griezmann pada minit ke-13 selepas Marcos Rojo menjatuhkan Kylian Mbappe.

Pada minit ke-25 Javier Mascherano melakukan lorongan bola terus ke kotak penalti Perancis tetapi gagal disambut Cristian Pavon sebaliknya penjaga gol, Hugo Lloris berindak pantas mengawal keadaan.

Gandingan Paul Pogba dan Griezmann terus menghadirkan ancaman buat Argentina pada minit ke-27 tetapi gagal menghasilkan penyudah dimahukan.

Sebaliknya Argentina yang mengasak mencari gol penyamaan akhirnya berjaya merobek gawang Perancis pada minit ke-41.

Angel Di Maria memastikan kedudukan 1-1 sebelum babak pertama berakhir selepas melepaskan rembatan deras kaki kiri dari luar kotak penalti yang tidak mampu diselamatkan Lloris.

 

Bersambung babak kedua, Argentina akhirnya di hadapan mendahului 1-2 hasil penyudah Gabriel Mercado pada minit ke-48.

Berpunca daripada gerakan Lionel Messi, Mercado yang berjaya melepasi perangkap ofside berjaya menampan bola yang terus menerjah jaring sekaligus mengelirukan lloris di gawang Perancis.

Kegembiraan Argentina hanya bertahan 10 minit sebelum Benjamin Pavard menjadikan kedudukan 2-2 buat Perancis pada minit ke-58.

Pemain pertahanan kanan itu berjaya menyambut hantaran lintang Lucas Hernandez dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan lencong yang terus masuk menerjah gawang Argentina tanpa mampu digapai penjaga gol, Franco Armani.

Mbappe kembali meletakkan Perancis mendahului 3-2 pada minit ke-64 selepas berjaya merembat masuk bola hasil situasi kelam kabut dihadapan gawang Argentina.

Argentina terus merana pada minit ke-69 apabila Mbappe mencetak jaringan kedua peribadi apabila melepaskan rembatan kencang hasil lorongan Olivier Giroud bagi kedudukan 4-2 buat Perancis.

Peluang terbaik Argentina merapatkan kedudukan menerusi Messi pada minit ke-85 tetapi rembatannya terus ke dakapan Lloris.

Sergio Aguero merapatkan kedudukan 4-3 buat Argentina pada penghujung babak menerusi tandukan hasil hantaran Messi namun sudah terlambat menghalang kemaraan Perancis ke suku akhir.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup


Pengarang :