SUKANKINI

WC2018: Neymar pastikan Brazil ke suku akhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 3 JUL: Brazil mempamerkan kebangkitan menakjubkan dibabak kedua untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Mexico bagi menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia 2018 hasil jaringan Neymar dan Roberto Firmino.

Babak pertama berlalu tanpa jaringan walaupun Mexico terlebih dahulu mengetuk pintu gol Brazil menerusi percubaan Hirving Lozano pada minit kedua apabila menyambut bola muntah tumbukan penjaga gol, Alisson Becker hasil hantaran lintang Andres Guardado.

Lozano sekali lagi hadir memberikan ancaman minit ke-14 apabila menghantar bola ke dalam kotak penalti tetapi jauh untuk disambut penyerang, Javier Hernandez.

Pergerakan Brazil yang sering terbatas bagaimanapun hampir menjelmakan jaringan menerusi larian solo Neymar apabila masuk menghampiri gawang tetapi rembatannya berjaya dihalang penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa.

Ochoa sekali lagi mempamerkan ketangkasan di minit ke-32 apabila menyelamatkan percubaan Gabriel Jesus yang sebelum itu memperdaya dua pertahanan Mexico.

Selepas 10 minit babak kedua bersambung, Neymar akhirnya memecah kebuntuan bagi meletakkan Brazil mendahului 1-0 selepas menampan hantaran ke dalam kotak penalti Willian.

Tiga minit kemudian, Paulinho hampir menggandakan jaringan buat Brazil tetapi rembatannya terus ditepis Ochoa di gawang Mexico.

Gandingan Neymar dan Willian nyata merunsingkan pertahanan Mexico apabila mereka sekali lagi terlepas peluang apabila rembatan Neymar tidak menepati sasaran di minit ke-67.

Ketika Mexico terus mengasak, Brazil akhirnya memperoleh gol kedua yang dicari pada minit ke-88 hasil jaringan pemain gantian, Roberto Firmino.

Fernandinho memulakan gerakan dengan melorongkan bola kepada Neymar di sebelah kiri dan disusuli hantaran ketengah kotak penalti yang mudah ditampan Firmino bagi kedudukan 2-0.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018


Pengarang :