SUKANKINI

WC2018: Siapa empat terbaik ke separuh akhir?

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 6 JULAI: Pusingan suku akhir Piala Dunia Rusia 2018 bakal membuka tirai malam ini dengan lapan pasukan terbaik bersedia mencari slot ke separuh akhir.

Tanpa kelibat juara bertahan Piala Dunia 2014 Jerman, kejohanan kali ini bakal menobatkan juara baru dalam perlawanan akhir yang bakal berlangsung, pertengahan Julai ini.

Lapan pasukan; Uruguay, Perancis, Brazil, Belgium, Rusia, Croatia, Sweden dan England masing-masing mahu menjulang piala berprestij dalam kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali dan pastinya mampu mengubah ranking pasukan terbaik FIFA.

Uruguay dan Perancis bakal memulakan perhitungan jam 10 malam waktu Malaysia dengan kedua pasukan memasang impian untuk menambah koleksi kejuaraan Piala Dunia.

Juara dua kali, Uruguay yang turun dengan reputasi menyingkirkan juara Piala Eropah 2014, Portugal mengharapkan sentuhan penyerang Barcelona, Luis Suarez yang dijangka berseorangan di bahagian depan susulan kecederaan penyerang prolifik, Edinson Cavani.

Cavani yang cemerlang dengan dua gol ketika menewaskan Portugal tidak turun menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Perancis akibat kecederaan kaki.

Perancis selaku juara edisi 1998 mempunyai kelebihan dengan gandingan mantap bahagian serangan dengan kecemerlangan pemain muda, Kylian Mbbappe dan Antoine Griezman bersedia melakukan kejutan selepas menyingkirkan Argentina sebelum ini.

Pertembungan Brazil dan Belgium jam 2 pagi esok turut mencuri tumpuan dan disifatkan sebagai ‘Battle of Midfield’ kerana kedua pasukan mengamalkan corak permainan terbuka, di samping kepantasan merangka serangan dari bahagian tengah.

Philippe Coutinho, Willian dan Neymar yang cemerlang sebelum ini pastinya tidak memandang mudah keserasian Kevin De Bruyne, Eden Hazard dan Romelu Lukaku di bahagian serangan Belgium tambahan mereka mencipta kebangkitan dramatik sebelum menewaskan Jepun 3-2.

Perhitungan Sweden dan England yang bakal berlangsung, pada 7 Julai jam 10 malam bakal menarik perhatian peminat bola sepak Eropah kerana kedua pasukan kali ini tampil dengan skuad baru.

Sweden yang tidak memanggil pemain bersatus bintang, Zlatan Ibrahimovic dilihat tidak berdepan masalah untuk menempah tempat di suku akhir walaupun hanya menang tipis 1-0 ke atas Switzerland hasil jaringan tunggal Emil Forsberg.

Corak bermain dengan semangat berpasukan Sweden dilihat boleh menggugat England yang mara selepas mengakhiri badi sepakan penalti dalam sejarah kejohanan menewaskan Colombia.

Penyerang, Harry Kane yang kini mendahului senarai penjaring gol terbanyak dalam edisi kali ini dengan enam gol pastinya mahu menambah koleksi jaringan selepas pencabar utama, Cristiano Ronaldo sudah meninggalkan kejohanan bersama Portugal apabila terkandas di pusingan 16 pasukan terbaik.

Tuan rumah, Russia pula akan bertemu Croatia awal pagi Ahad ini pastinya mengharapkan sokongan padu di laman sendiri untuk menempah tiket ke separuh akhir.

Menyingkirkan Sepanyol, juara Piala Dunia edisi 2010 menerusi penentuan sepakan penalti pastinya menjadi tonik terbaik mencipta kejutan ke atas Croatia yang belum tewas sepanjang kejohan dengan rekod tiga kemenangan di peringkat kumpulan dan bolos dua kali.

Gandingan dua pemain La Liga, Ivan Rakitic dan ketua pasukan, Luka Modric di bahagian tengah dilihat begitu mantap ketika ini dalam merangka serangan bagi memastikan Mario Mandzukic berpeluang mencetak jaringan.

Jadual Perlawanan Suku Akhir Piala Dunia 2018:

1) Jumaat (6 Julai-10 Malam): Uruguay vs Perancis
2) Sabtu (7 Julai-2 Pagi): Brazil vs Belgium
3) Sabtu (7 Julai-10 Malam): Sweden vs England
4) Ahad (8 Julai-2 Pagi): Rusia vs Croatia

 


Pengarang :