BERITA UTAMASELANGOR

Worldwide bakal lancar ‘Waste-To-Energy’ pertama di Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) sedang giat merangka Pelan Pembangunan Pengurusan Sampah dan Sisa Pepejal (Waste-To-Energy) pertama, di negeri ini.

Pengerusinya, Dato’ Nor Azmie Diron berkata, pelan yang lebih cenderung ke arah teknologi moden itu sekali gus dapat menggantikan kaedah lama melalui penggunaan tapak pelupusan.

Malah katanya, Kerajaan Negeri mengambil maklum dan mempersutujui dasar berhubung perkara terbabit.

“Setakat ini, pihak kami membuat perbincangan bersama rakan teknologi dengan tanah dan lokasi sudah diperolehi.

“Cuma apa yang tinggal buat masa ini, kami mahu memuktamadkan perjanjian dalam hal pembangunan di Jeram,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau berkata demikian selepas hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Riang Ria Aidilfitri, di Grand Ballroom Hotel Concorde, di sini, semalam.

Sebelumnya, syarikat pemaju perumahan yang berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri di bawah dasar perumahan Rumah Selangorku itu, meraikan lebih 2,000 pengunjung dalam acara berkenaan.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada masa sama, Azmie berkata, pihaknya optimis keberkesanan sistem itu yang diyakini mampu mencapai iltizam Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Kerajaan Negeri.

Katanya, ia bagi memastikan pengurusan sampah di negeri ini dapat dijalankan secara lebih cekap dan sistematik.

“Pelan perancangan dan pelan kebenaran merancang menjadi sasaran kita pada tahun ini dalam merealisasikan hasrat terbabit.

“Justeru, pembangunan tenaga elektrik akan turut dirancakkan kerana kita mahu negeri ini memiliki janakuasa yang turut disertai anak syarikat Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :