SELANGOR

Wujud inisiatif khas buat ibu bapa OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JULAI: Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin mencadangkan inisiatif baharu diperkenalkan khas kepada ibu bapa yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Katanya, walaupun Kerajaan Negeri sudah memperkenalkan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), namun ia hanya terhad kepada ibu yang mempunyai anak 21 tahun ke bawah.

“Saya ingin mencadangkan satu inisiatif diperkenalkan khusus kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU dan boleh memohon tanpa had umur.

“Hal ini ekoran ramai dalam kalangan pemohon KISS mempunyai anak OKU tetapi jika umur anak mereka atas 21 tahun, mereka tidak boleh memohon,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana berkata, tanggungjawab dan cabaran ibu bapa yang mempunyai anak OKU adalah sangat mencabar dan berharap Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif itu kepada golongan terbabit.

Pada masa sama, beliau turut memuji Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Inisiatif Peduli Rakyat yang memelihara kebajikan rakyat dari bayi hingga meninggal dunia.

“Salah satunya adalah KISS yang bukan sahaja meringankan beban keluarga, namun pemakanan juga terjaga dengan baik,” katanya.

Mengulas berkenaan sambutan KISS di DUN Permatang, Rozana berkata, seramai 1,450 penerima sudah mendapat manfaat itu sehingga kini.


Pengarang :