SELANGOR

Yakin kemampuan KDEBWM kendali pentadbiran Petaling Jaya

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 31 JUL: Kerajaan Negeri yakin KDEB Waste Management (KDEBWM) akan memberikan perkhidmatan yang terbaik, sekali gus mampu menurunkan aduan sampah di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seperti di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, hal itu kerana KDEBWM berjaya menunjukkan komitmen dan kecemerlangan sistem pengurusan sisa pepejal berteraskan ‘Smart Waste Solution’ sebagai solusi yang berkesan serta terbaik.

Katanya, kecemerlangan perkhidmatan KDEBWM yang ditonjolkan bagi memastikan tahap kebersihan yang tinggi dilaksanakan, di Selangor.

“Bermula dengan ‘pilot project’ di kawasan Majlis Perbandaran Klang diikuti di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Daerah Kuala Langat serta Majlis Perbandaran Kajang.

“MBPJ adalah majlis Bandaraya yang pertama diambil alih oleh KDEBWM setakat ini dan saya yakin pengambilalihan ini akan berjalan dengan lancar seperti kejayaan yang dilaksanakan, di PBT lain.

“Tentunya keberkesanan perkhidmatan operasi KDEBWM akan dapat diteruskan di MBPJ dengan adanya aset dilengkapi teknologi moden yang akan memantau dan mengesan pergerakan lori,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Perkhidmatan Pengurusan Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam dan Penyerahan Lori Kompaktor serta Armroll, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Sze Han berkata, KDEBWM kini memiliki 225 unit kompaktor yang digunapakai untuk operasi kutipan sampah domestik pada suku ketiga tahun ini dan dijangka akan meningkat kepada 300 kompaktor.

Katanya, manakala skop pembersihan awam pula sebanyak 214 unit lori ‘armroll’ dan juga akan meningkat kepada 300 unit.

“Dana kewangan yang diberikan Kerajaan Negeri dibelanjakan untuk pembelian lori, namun KDEBWM masih lagi terpaksa membuat pinjaman daripada institusi kewangan bagi memastikan syarikat dapat membuat pelaburan yang optima demi meningkatkan kecekapan pengurusan,” katanya.

 


Pengarang :