PBTSELANGOR

YDP MPSJ puji penduduk Kampung Baru Seri Kembangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERI KEMBANGAN, 28 JUL: Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan memuji sikap penduduk Kampung Baru Seri Kembangan yang bekerjasama menjaga kebersihan komuniti, di sini.

Katanya, beliau bangga apabila melihat ada kawasan yang terjaga rapi tanpa perlu dipantau sepenuhnya oleh kakitangan MPSJ.

“Saya bangga melihat penduduk di sini menjaga kebersihan tebing Sungai Kuyoh, dan menambahbaik kemudahan sedia ada, malah penduduk menaiktaraf jambatan sedia ada dengan warna lebih menarik sehingga dipanggil ‘Rainbow Bridge’.

“Turut difahamkan ada warga emas secara sukarela menyapu kawasan sekitar, semangat inilah yang perlu ada dalam komuniti iaitu mecintai kawasan setempat dan menjaganya dengan baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Penanaman Pokok Bersama Komuniti Sungai Kuyoh pagi tadi, hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah serta 30 sukarelawan menanam pokok.

Noraini berkata, sebanyak 100 anak pokok ditanam di situ yang berfungsi sebagai penyerap karbon dan pengeluar oksigen.

Katanya, program itu selaras dengan Pelan Strategik 2012-2030 MPSJ di bawah Teras 2 iaitu perancangan dan pembangunan mampan serta mesra alam sekitar.

“MPSJ juga mahu memupuk semangat mencintai alam sekitar serta meningkatkan keindahan dan nilai estetika kawasan setempat.

“Adalah diharapkan ia dapat menghijaukan kawasan setempat selaras dengan hasrat Kerajaan Selangor yang mensasarkan 80,000 pokok setahun bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.


Pengarang :