NASIONAL

YDPA hargai ketelusan kerajaan, sumbangan Tabung Harapan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V mengalukan pendekatan Kerajaan menegakkan ketelusan dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara dan mengkaji semula perbelanjaan, kos projek serta menguruskan kewangan secara berhemah.

Baginda turut menyokong langkah Kerajaan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak dan memberi Bantuan Sara Hidup untuk meringankan beban rakyat.

“Pada masa sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara,” titah baginda.

Baginda turut menyeru Kerajaan berusaha mencari jalan mengatasi cabaran ketidaktentuan ekonomi global, konflik politik dan krisis kemanusiaan peringkat antarabangsa.

Titah baginda, Kerajaan juga perlu menangani isu ancaman radikal yang mampu mempengaruhi geopolitik dan ekonomi dunia.

Baginda turut menyentuh era revolusi perindustrian yang merupakan cabaran baru yang perlu dihadapi semua negara.

“Beta mengalukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya.

“Beta berharap faedah diperolehi bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi aspek sosial dan lain-lain,” titah baginda.


Pengarang :