SELANGOR

YIDE bantu mangsa kebakaran di Sabak Bernam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUL: Prihatin dengan bencana kebakaran yang menimpa seorang bapa tunggal di Sabak Bernam, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) tampil menghulurkan bantuan.

Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti YIDE, Md Ariffin Jaafar berkata, dalam kejadian itu, rumah milik mangsa, Zainuddin Parman musnah kira-kira 90 peratus sekaligus menyebabkan beliau kehilangan harta benda.

“Kami difahamkan ketika kejadian, mangsa tiada di rumah, dan dipercayai kebakaran berlaku disebabkan masalah litar pintas.

“Oleh sebab itu YIDE menyeru masyarakat supaya membuat pemeriksaan pendawaian elektrik secara berkala bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Md Ariffin berkata, pihaknya turut menghulurkan bantuan wang tunai dan juga barangan keperluan harian kepada mangsa.

“Sebarang maklumat berkaitan bencana alam seperti kebakaran, tanah runtuh serta banjir ataupun sumbangan kepada mangsa, orang ramai boleh terus menghubungi Pegawai Kebajikan YIDE, Muhammad Zubair di talian 0177569476,” katanya.


Pengarang :