SELANGOR

Zalim kepada haiwan boleh didenda hingga RM100,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 JUL: Anda boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM100,000 sekiranya didapati bersalah atas sebab menzalimi haiwan, kata Pengarah Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr Hassuzana Khalil.

Katanya, ia tertakluk atas Akta Kebajikan Haiwan 2015 atau Akta 722, selain itu boleh turut dikenakan denda dari RM200 kepada RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

“Akta yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2017 ini bertujuan memastikan pemilik haiwan bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan, sekaligus memperluaskan penguatkuasaan terhadap kezaliman haiwan dengan lebih efektif.

“Sebagaimana sedia maklum, isu kebajikan haiwan menjadi semakin kritikal di negara, termasuk Selangor. Namun kita boleh menarik nafas lega kerana walaupun semakin maju, masyarakat semakin mengambil berat isu kebajikan haiwan.

“Banyak kes kezaliman terhadap haiwan mudah menjadi tular di media sosial kerana mereka mengharapkan supaya Kerajaan membuat tindakan segera,” katanya dalam ucapan ketika Hari Kebajikan Haiwan Negeri Selangor 2018 semalam.

Hassuzana berkata, Akta 722 adalah satu manifestasi bahawa Kerajaan tidak lagi menganggap kes kezaliman haiwan sebagai remeh atau kerja tambahan.

Katanya, Kerajaan memperakukan haiwan peliharaan dan ternakan juga mempunyai hak di dunia termasuk bebas daripada rasa lapar dan haus.

“Selain itu hak haiwan ialah bebas dari rasa tidak selesa, bebas untuk mengekspresikan sifat semulajadi, bebas daripada kesakitan dan penyakit, serta bebas daripada rasa takut dan tertekan.

“Marilah kita bersama-sama meningkatkan pengetahuan dan memupuk kasih sayang kepada haiwan seterusnya menjadi masyarakat bertimbang rasa dan penyayang,” katanya.

 


Pengarang :