SELANGOR

Zawawi fokus pembangunan awam Sungai Kandis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 23 JUL: Pembangunan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menjadi antara fokus terpenting Mohd Zawawi Ahmad Mughni sekiranya diberikan peluang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil N.049 Sungai Kandis itu berkata, penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan kemudahan awam di Sungai Kandis dibangunkan secara holistik.

“Isu fasiliti dan infrastruktur ini sebenarnya sudah dilaksanakan dengan baik oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) sebelum ini.

“Namun selepas wujudnya beberapa penambahan beberapa kawasan yang baru dimasukkan ke dalam Sungai Kandis, kita merasakan wujud keperluan untuk meneliti beberapa perkara yang menjadi keluhan rakyat.

“Ini termasuklah isu-isu seperti masalah banjir, longkang sumbat, perparitan dan pembaikan jalan-jalan kampung yang perlu dibaiki segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Utama KEADILAN N.049 Sungai Kandis di Jalan Bukit Kemuning, semalam.

Selain itu katanya, pembangunan kerohanian membabitkan aspek kemasyarakatan Sungai Kandis turut menjadi keutamaan baginya.

Zawawi yang juga tokoh agama setempat itu berkata, fokus itu tertumpu kepada usaha berterusan memastikan amalan istiqamah terus dipraktikkan dalam urusan kemasyarakatan.

“Pembangunan masyarakat yang berteraskan kepada prinsip agama tanpa mengira sebarang fahaman agama juga perlu diberi perhatian.

“Keutamaan ini kerana prinsip kemanusiaan itu harus dibangunkan secara holistik tanpa mengejar kepada keduniaan dan kebendaan semata-mata,” katanya.


Pengarang :