SELANGOR

Zawawi minta media lapor berita sahih

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 JUL: Media massa diminta terus bekerjasama menyalurkan laporan berita sahih dan benar kepada rakyat demi kebaikan serta kesejahteraan semua.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pelbagai maklumat dan berita ditagih rakyat khususnya pengundi yang mengikuti perkembangannya dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya berharap semua media bekerja saban hari dan waktu supaya dapat menyampaikan berita yang tepat kepada orang ramai berhubung PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Diharap media juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya pengundi akan tanggungjawab mereka keluar mengundi, pada 4 Ogos ini,” katanya ketika mengadakan lawatan di Pusat Media Jabatan Penerangan untuk PRK DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Beliau berkata, promosi berterusan Jabatan Penerangan dan media dalam perkara berkaitan pasti akan memberi kesan kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab itu.

Katanya, ia juga berhubung kefahaman peranan rakyat bersuara dalam negara demokrasi seperti di negara ini.

“Kemudahan lengkap dan selesa di pusat ini pastinya dapat mewujudkan keadaan bekerja lebih kondusif dan mampu membantu petugas media menghasilkan idea bagi laporan berita yang baik.

“Saya mendoakan semua media yang terbabit dalam PRK DUN Sungai Kandis dapat menjalankan tugas dan bekerjasama baik dengan semua pihak,” katanya.


Pengarang :