SELANGOR

Zawawi: Parti komponen PAKATAN beri kerjasama

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 31 JUL: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni, menafikan tiada kerjasama antara parti komponen dalam gabungan itu bagi membantu kempen beliau menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis.

Semua parti termasuk DAP, katanya, sentiasa berganding bahu sepanjang tempoh kempen bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAKATAN, pada 4 Ogos ini.

“Exco Kerajaan Negeri, V Ganabatirau turun lebih tiga kali membantu saya berkempen di DUN Sungai Kandis ini bersama Ahli Dewan Negeri Pandamaran, Tony Leong.

“Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga akan turut serta bersama kita pada 2 Ogos ini diikuti pada hari kemuncak dengan kehadiran Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi, calon PAKATAN daripada KEADILAN berkata demikian bagi menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menganggap tidak wujud kerjasama antara parti dalam PAKATAN terutama DAP, dalam PRK itu.

“Kerjasama antara semua parti dalam PAKATAN tetap utuh dan kita saling membantu antara satu sama lain,” katanya.


Pengarang :