Selangorkini
EKONOMI GLOBAL

Zuckerberg rugi lebih AS$15 bilion

NEW YORK 27 JUL: Kekayaan Ketua Eksekutif Facebook Inc Mark Zuckerberg susut AS$15 bilion berikutan syarikat media sosial itu mengalami kejatuhan harga satu hari terbesar dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat (AS).

Semalam pegawai syarikat itu meramalkan marjin keuntungan syarikat akan lebih rendah dalam tahun-tahun mendatang.

Sekurang-kurangnya 16 firma pembrokeran mengurangkan harga sasaran ke atas Facebook selepas Ketua Pegawai Kewangan David Wehner mengejutkan penganalisis dengan berkata syarikat itu berhadapan tekanan marjin keuntungan dalam tahun-tahun mendatang.

Kenyataan itu disifatkan seorang penganalisis sebagai ‘bom’ yang mencetuskan kebimbangan di Wall Street bahawa model perniagaan Facebook mungkin terancam selepas isu berhubung privasi pelanggan membimbangkan ramai pihak.

Pada penutup, sahamnya jatuh hampir 19 peratus pada AS$176.26, menghapuskan lebih AS$120 bilion nilai syarikat atau hampir empat kali keseluruhan permodalan pasaran Twitter Inc.

Marjin Facebook jatuh kepada 44 peratus pada suku kewangan kedua daripada 47 peratus setahun lalu berikutan ia berbelanja besar ke atas keselamatan dan inisiatif untuk meyakinkan pengguna bahawa syarikat melindungi privasi mereka.

Facebook berkata, pertumbuhan pendapatan daripada pasaran membangun dan aplikasi Instagram miliknya, yang hanya sedikit terkesan oleh is privasi itu, tidak mencukupi untuk memperbaiki kerosakan.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :