NASIONAL

Zuraida: Tidak terima sebarang aduan RUMAWIP dihenti

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 8 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tiada menerima sebarang aduan mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa projek pembinaan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) itu akan dihentikan.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, sekiranya ada aduan beliau bersedia mengadakan pertemuan dengan pembeli unit perumahan terbabit untuk mendapatkan maklumat.

“Setakat ini kita tidak terima sebarang aduan berhubung perkara ini, tetapi jika ada kita akan ambil pendekatan untuk pastikan mereka tidak dianiaya dan mendapat hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Ampang yang diadakan di Padang Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa.

Terdahulu, terdapat desas-desus mengatakan bahawa projek RUMAWIP untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menetap serta bekerja di Wilayah Persekutuan itu akan dihentikan.


Pengarang :