SUKANKINI

10 Alumni Ragbi berentap di ‘CGC Merdeka Midnight Rugby Meet’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SERDANG, 31 OGOS: Sebanyak 10 pasukan kelab terdiri daripada alumni ragbi berprestij di Malaysia berentap dalam ‘CGC Merdeka Midnight Rugby Meet’, anjuran Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, di Padang Kolej 14 Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, malam tadi.

Saingan edisi julung kali itu menyaksikan kehadiran Kelab ALSPEN Stingers RC (Alumni SMS Tun Syed Shahabudin, Pulai Pinang), Edwardian Legends (Alumni SM King Edward VII, Perak), KKB Vets (Alumni SM Kuala Kubu Baru), MCOBA Vets (Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar).

Turut sama juga adalah OPA (Alumni Royal Military College, KL), SAJOHA Vets (Alumni Sekolah Sains Johor), SDAR Vets (Alumni Sekolah Datuk Abdul Razak, Negeri Sembilan), SMSSOB (Alumni SM Sains Selangor), STJ How (Alumni SM Sains Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan) dan VI Legends (Alumni Victoria Institution, Kuala Lumpur).

Ketua Pegawai Korporat CGC, Rahim Raduan berkata, kejohanan itu mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kelab Ragbi Home of Warriors sempena meraikan ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Katanya, ia juga sebahagian daripada Karnival Merdeka KKKM selain menggalas peranan pihaknya dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berasaskan kesukanan.

“Untuk kali pertama, keseronokan itu sedikit berbeza, bagaimanapun kami berbangga dan berbesar hati untuk menaja kejohanan ragbi ini yang bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-61, kerana sukan mampu mengeratkan ikatan silaturahim sesama kita, membina semangat berpasukan dan menggalakkan kehidupan sihat.

“Selain itu, terdapat persamaan dalam nilai-nilai teras yang diamalkan di CGC dan sukan dengan menggalakkan semangat berpasukan, komitmen, membina integriti serta menyerlahkan bakat.

“Kesemua unsur-unsur ini mewakili nilai pegangan CGC terutama untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Sementara itu, Riduan berkata, dalam usaha memacu pembangunan sukan ragbi di Malaysia, pihaknya beriltizam untuk memperhebatkan lagi pelaksanaan program sedemikian pada masa hadapan.

“Melihat kepada sambutan menggalakkan menerusi program ini, kami akan terus mencari peluang untuk turut serta dalam penganjuran program sama selepas ini, namun berusaha menerokai sukan lain yang lebih besar dan menarik.

“Ini kerana, ia memberi peluang kepada kami bagi meningkatkan program membabitkan tanggungjawab sosial korporat, sekali gus mengangkat sukan tempatan yang terdapat di negara ini ke peringkat lebih tinggi.

“Alumni terlibat juga berperanan membantu merancakkan sukan ini melalui sumber sokongan dari aspek bantuan kewangan, masa dan tenaga serta sesi latihan secara percuma kepada pelajar di sekolah lama mereka, dengan hasrat melahirkan ramai pelapis sukan ragbi tempatan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, kejohanan itu menyaksikan lima kategori dipertandingkan iaitu ‘Shield’, ‘Bowl’, ‘Cup Champion’ dan ‘Plate Champion’ dengan menyaksikan Juara serta Naib Juara masing-masing membawa pulang piala iringan.

 


Pengarang :