SELANGOR

11 kluster kebajikan anak yatim YIDE semarak bulan Kemerdekaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 11 kluster kebajikan anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengibarkan Jalur Gemilang bersempena menyemarakkan bulan Kemerdekaan.

Pegawai Hal Ehwal Kebajikan YIDE, Muhammad Zubair Azizan berkata, ia bertepatan dengan tema Kemerdekaan, “Sayangi Malaysiaku” seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini merupakan inisiatif setiap rumah kebajikan bagi menzahirkan semangat Kemerdekaan sekaligus menanam semangat patriotik dalam diri anak yatim,” katanya dalam kenyataan.

Antara 11 kluster terlibat adalah Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (Pekeas), Pertubuhan Al-Khadeem (Rumah Harapan Al-Khadeem), Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah, Rumah Amal Baitul Kasih/Baitul Fitrah dan Rumah Aman (Shah Alam).

Selain itu, turut terlibat Persatuan Rumah Anak Yatim Damai Kuang, Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Dan Miskin Wawasan Cemerlang Selangor, Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor (Rumah Bakti Dato’ Harun), Rahoma Darul Fakir, Rumah Kasih Harmoni dan Rumah Anak Yatim Dah Hidayah Al Hijrah.

Sementara itu, YIDE turut mengalukan rumah kebajikan anak yatim di Selangor untuk berdaftar di bawah YIDE.

Ia bertujuan supaya YIDE dapat memantau dan membuat naziran kepada semua rumah anak yatim serta dapat menyalurkan peruntukan pentadbiran melalui geran tahunan.

YIDE adalah agensi dibawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti kebajikan di dalam Selangor.

Antara fokus lain, YIDE juga menyampaikan bantuan secara ‘Ad-Hoc’ kepada mangsa yang ditimpa malapetaka dan menyediakan rawatan hemodialisis kepada masyarakat Selangor.

 


Pengarang :