SELANGOR

150 kanak-kanak sertai ‘Generasi Muda XCAMP’ MBSA

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 150 kanak-kanak berumur antara lima hingga enam tahun menyertai program ‘Generasi Muda XCAMP’ anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)  di Taman Tasik Lembah Bukit SUK, di sini, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia merupakan program pemantapan pendidikan bagi mendidik mereka mengenai penjagaan alam sekitar.

“Kami mahu mendidik kanak-kanak supaya menghargai alam sekitar dan mengamalkan serta membudayakan amalan 3R (Reduce, Reuse & Recycle) dari peringkat usia awal dalam menguruskan sisa,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Shahrin berkata, menerusi penganjuran program berkenaan, pihaknya berharap amalan kitar semula dan rasa menghargai alam sekitar dapat dipupuk, sekali gus menjadi budaya dalam kehidupan mereka.

“Konsep diketengahkan sepanjang program adalah berseronok dengan melakukan kitar semula dan memelihara alam sekitar.

“Peserta turut didedahkan dengan kaedah kitar semula dan pengurusan sisa yang betul melalui aktiviti kreatif menyeronokkan,” katanya.

Aktiviti ‘Explorace’ antara menjadi tumpuan sepanjang program berlangsung, yang memberi peluang kepada peserta untuk berkomunikasi secara berkesan, selain memupuk jati diri dan sikap cintakan alam sekitar.

Terdahulu, Majlis Penutupan Kem terbabit disempurnakan Ketua Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA, Mohd Azmi Amer Khan.


Pengarang :