NASIONAL

2 lelaki ugut bom di Sri Pentas direman

PETALING JAYA 30 OGOS: Dua lelaki yang dipercayai membuat panggilan palsu berhubung ancaman bom di Sri Pentas, di sini kelmarin direman empat hari bermula hari ini.

BH ONLINE melaporkan, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia lingkungan 40-an.

Siasatan terhadap kedua-lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki yang memakai baju lokap jingga tiba di mahkamah pada jam 11.25 pagi dan mereka yang diiiringi anggota polis keluar dari bilik reman kira-kira 30 minit kemudian.

Semalam, polis menahan dua lelaki kira-kira jam 8.20 malam di Temerloh, Pahang kerana dipercayai terbabit dalam panggilan bom palsu itu.

Pada 28 Ogos lalu, bangunan Sri Pentas terpaksa dikosongkan selepas pihak pengurusannya menerima panggilan palsu terdapat bom di dalam premis itu.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Utama dihantar ke lokasi kejadian.

SUMBER: BH ONLINE


Pengarang :