NASIONAL

28 bot nelayan Malaysia masih tersadai di Indonesia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 14 OGOS: Sehingga kini, terdapat 28 bot nelayan Malaysia yang masih tersadai, di Indonesia ekoran memasuki sempadan perairan negara itu tanpa sengaja, sejak 2016.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah itu, lima daripadanya adalah milik nelayan Sekinchan.

“Penyelesaian untuk mendapatkan semula bot nelayan milik warga tempatan ini bukanlah mudah, ia membabitkan undang-undang laut, namun begitu rundingan sehingga kini masih diteruskan.

“Kita terpaksa berbincang memandangkan ini bersangkutan dengan hal persempadanan, sebaiknya nasihat saya kepada nelayan, bagi mengelakkan perkara ini terus terjadi, cubalah ikut peraturan sedia ada,” katanya kepada media selepas sesi dialog bersama nelayan Sekinchan, di Pantai Redang.

Pada masa sama, Mohamad turut memberi maklum balas dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung keputusan kerajaan meletakkan aset keselamatan secara berkala, di Beting Patinggi Ali, Sarawak.

Beliau berkata, masalah hutang negara tidak akan menjadi halangan kepada Kementerian Pertahanan untuk terus berusaha memperkasakan aset pertahanan negara.

“Ini kerana kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan, terutama di kawasan perairan negara.

“Selagi berupaya, kita akan cuba perkukuhkan aset pertahanan kita tetapi masalah kekangan kewangan itu realiti.

“Kita akan cuba melaraskan dalam kekangan kewangan ini untuk meningkatkan keupayaan keselamatan, termasuk di perairan negara,” katanya.


Pengarang :