SELANGOR

3 generasi dirai, erat silaturahim

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Seramai 280 peserta daripada tiga generasi dirai, pada Program Intergenerasi Warga Emas, Kanak-kanak dan Remaja peringkat Selangor 2018, di Dewan Orang Ramai, Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program itu adalah landasan menggabungkan ketiga generasi, di bawah satu bumbung.

“Aktiviti dalam program ini membabitkan tiga kumpulan usia berbeza bertujuan mewujudkan interaksi, komunikasi, perkongsian kemahiran dan ilmu pengetahuan sesama sendiri.

“Program sebegini amat digalakkan di Selangor khususnya supaya generasi ini dapat memanfaatkan pengalaman sedia ada untuk dikongsikan bersama,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Difahamkan, daripada 280 peserta terbabit, 150 adalah warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Yayasan Al-Jenderami, penerima bantuan warga emas daerah Sepang dan Komuniti Warga Emas Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek.

Manakala, penyertaan kanak-kanak dan remaja pula membabitkan 130 orang terdiri daripada pelajar di 25 sekolah rendah dan menengah di daerah Sepang serta pelajar Kolej Vokasional Sepang.

Antara pengisian program adalah senaman warga emas yang bermula seawal jam 7.30 pagi, diikuti ceramah berkaitan Dasar Warga Emas dan isu antara generasi serta terapi kesunyian.

Turut diadakan pembahagian kumpulan membabitkan tiga generasi untuk membuat aktiviti menganyam ketupat, membuat layang-layang, permainan congkak dan acara membuat karipap serta pameran juga pemeriksaan kesihatan percuma.


Pengarang :