SELANGOR

3 pekerja maut dihempap besi di Rawang

RAWANG 25 OGOS: Tiga pekerja maut selepas dihempap besi di sebuah kilang di Jalan Kpk 1/5, Kawasan Perindustrian Kundang, Rawang, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, kejadian turut menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh cedera.

“Pihak kami menerima panggilan jam 11 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang bergegas ke lokasi.

“Daripada maklumat awal yang kami terima, sebuah mesin di kilang berkenaan meletup menyebabkan serpihan besinya terkena mangsa.

“Dua lelaki warga tempatan dan seorang pekerja warga Bangladesh maut dalam kejadian ini. Perkara itu disahkan pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut selepas operasi mengeluarkan mangsa dan memastikan keselamatan di lokasi selesai.

SUMBER: BH ONLINE


Pengarang :