dav
PBTSELANGOR

32 sekolah ikuti Program Bumi Hijau Bumi Merdeka

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA 16 OGOS: Sebanyak 32 sekolah mengikuti Program Bumi Hijau Bumi Merdeka anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bertempat di Kebun Komuniti, Jalan USJ 6/7, di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, program itu merupakan salah satu aktiviti di bawah Modul Landskap dan Keceriaan yang direalisasikan bersama Jabatan Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS) serta Jawatankuasa Penduduk (JKP Zon 4).

Katanya, daripada 32 sekolah ia terdiri daripada 16 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah membabitkan peserta dalam kalangan pelajar dan guru.

“Program bertemakan “Bumi Hijau Bumi Merdeka” ini dilaksana sebagai usaha mendidik generasi muda mengenai kepentingan memelihara alam sekitar selain meraikan Hari Kemerdekaan.

Saya optimis melalui program ini, peserta khususnya pelajar dan guru akan dapat manfaat daripada program kebun komuniti dan amnya kepada seluruh masyarakat mengenai pentingnya memelihara alam sekitar dan menghijaukan bumi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Bumi Hijau Bumi Merdeka sempena Program Generasi Bestari (Smart Gen) MPSJ 2018, di sini, hari ini.

Terdahulu, pelajar dan guru diberikan taklimat serta demonstrasi mengenai prosedur penanaman juga penjagaan pokok sayuran yang betul oleh wakil JPNS.

Selain itu, peserta turut dibawa ke sekitar Kebun Komuniti USJ 6 ini dan merasai sendiri pengalaman melakukan kerja penyelenggaraan rutin dalam menjaga kebun sayur-sayuran.

Pada masa sama, sejumlah 480 pokok terdiri daripada jenis anak pokok cili (Capsicum Annum) dan anak pokok bendi (Abelmochus Esculentus Linn) diserahkan kepada setiap sekolah sebagai tanda penghargaan dalam menjayakan aktiviti Kebun Komuniti.


Pengarang :