NASIONALPENDIDIKAN

3,653 penuntut baru bakal mendaftar di UKM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 OGOS: Seramai 3,653 penuntut baru bakal mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Sesi Akademik 2018/2019, bermula September ini.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan berkata, ia membabitkan 13 fakulti di UKM Bangi, UKM Kampus Kuala Lumpur dan Perubatan UKM di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya, daripada jumlah itu, 70 peratus adalah penuntut wanita manakala 30 peratus adalah lelaki.

“Sebanyak 73 program ditawarkan di peringkat ijazah sarjana muda dengan 47 daripadanya ialah program sains dan 26 program sastera.

“Buat pertama kalinya, UKM menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Citra dengan Kepujian kepada 100 calon mahasiswa baru,” katanya dalam kenyataan.

Noor Azlan berkata, konsep mentor mentee di antara pelajar baru dan pensyarah turut menjadi ‘highlight’ sempena minggu mesra mahasiswa.

Katanya, ia bagi membolehkan mereka berhubung dengan pensyarah sebelum sesi pembelajaran bermula, sekali gus memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran dan kehidupan di kampus berkenaan aspek akademik yang bakal dilalui.

“Saya berharap mahasiswa baru dapat mengambil peluang menggilap bakat dan potensi diri masing-masing bagi memenuhi citra universiti supaya mereka mempunyai ‘Payung Merah’ untuk terus cemerlang dalam pengajian di UKM,” katanya.


Pengarang :