BERITA UTAMASELANGOR

4,000 ‘hotspot’ WiFi percuma menjelang akhir tahun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 OGOS: Pembangunan infrastruktur telekomunikasi melalui capaian jalur lebar (WiFi) di Selangor bakal diperluaskan dengan 4,000 ‘hotspot’ ke seluruh negeri, menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan SMARTSEL Sdn Bhd, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir berkata, sehingga kini jumlah kawasan ‘hotspot’ yang terdapat di negeri ini ialah sebanyak 3,600 termasuk di kawasan luar bandar.

Katanya, pelaksanaan itu menjadi saksi kepada inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan semua rakyat mendapat akses melalui capaian jalur lebar berkelajuan tinggi secara percuma, sekali gus merapatkan jurang digital di Selangor khususnya.

“Justeru, kami sudah memilih beberapa kawasan terutama di kawasan luar bandar bagi membangunkan dan menambahbaik perkhidmatan internet ini.

“Sudah pasti kawasan terbabit adalah yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di bandar dan stadium serta kampung. Bagaimanapun, beberapa perkara perlu ditangani dahulu seperti permasalahan yang timbul ketika penggunaannya sebelum ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) SMARTSEL Sdn Bhd dan Korea Telecom (KT) Corporation, di sini, petang ini.

Turut hadir menyaksikan pertukaran dokumen MoU itu ialah Dato’ Menteri Besar , Amirudin Shari; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy serta Naib Presiden Perniagaan Global KT Corporation, Byeong Moo Lee.

Pada masa sama, Mohamad Suhaimi berkata, penambahan kawasan ‘hotspot’ itu penting dalam menangani kekangan capaian perkhidmatan jalur lebar berkenaan.

“Disebabkan perkhidmatan ini percuma, kami tidak menafikan bahawa ramai yang menggunakannya dan buat masa ini untuk setiap ‘hotspot’ hanya dihadkan kepada 30 pengguna pada satu tempoh masa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap dengan termeterainya MoU itu bakal memberi peluang kepada Selangor untuk menerokai bidang teknologi digital, seiring dengan hasrat mencapai status ‘Smart State’ menjelang 2025.

Katanya, SmartSel juga mahu menyediakan perkhidmatan jalur lebar lebih pantas meliputi kawasan yang lebih luas dan lebih murah bukan sahaja di bandar, bahkan di luar bandar.

Terdahulu, SMARTSEL merupakan anak syarikat Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), manakala KT Corporation adalah penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar di Korea Selatan dan antara pemain utama teknologi global yang menyediakan penyelesaian teknologi inovatif.


Pengarang :