NASIONAL

837 pemilik PPR Lembah Subang 1 diberi amaran – KPKT

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 30 OGOS: Kira-kira 837 pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 diberi amaran oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia gara-gara penduduk terlibat menyewakan rumah terbabit kepada orang lain terutamanya warga asing.

“KPKT sudahpun mengeluarkan amaran dan juga teguran, dan sekiranya sehingga 30 September pemilik masih lagi tidak berubah, kita akan mula menguatkuasakan tindakan undang-undang.

“Sehingga kini saya sudah melantik ketua blok untuk membuat pemantauan dan berharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Zuraida berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan tiada lagi warga asing menduduki rumah PPR dan ia akan dimulakan dengan rumah yang di bawah jagaan KPKT.

“Penguatkuasaan tersebut dilakukan bagi memastikan rakyat tempatan diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah selain isu-isu sosial yang sering ditimbulkan oleh warga asing yang menduduki kawasan rumah terbabit.

“Kita juga mahu mengawal selia isu harga sewa di kawasan berkenaan yang mana kita tahu kebanyakan warga asing akan menawarkan kadar yang lebih tinggi berbanding rakyat tempatan,” katanya.


Pengarang :