Kerajaan memutuskan tiada acara perbarisan pada 31 Ogos seperti kelaziman berikutan negara masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Foto ARKIB SELANGORKINI
NASIONAL

Acara Perbarisan Hari Kebangsaan 2018 tampil 4 komponen utama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 menampilkan empat segmen utama merangkumi komponen Kenegaraan, Ketenteraman Awam, Keselamatan Negara dan Komponen Rakyat Bersepadu.

Di Dataran Putrajaya, lautan manusia termasuk pelancong asing nyata tidak melepaskan peluang menghayati sambutan itu dengan menonjolkan semangat Malaysia baharu yang diserikan menerusi persembahan perbarisan penuh bertenaga daripada 12,295 peserta pelbagai kontinjen, terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta pelajar sekolah.

Mengangkat tema ‘Sayangi Malaysiaku’, sambutan hari bersejarah itu menjadi medan terbaik untuk rakyat Malaysia menzahirkan perasaan cinta kepada negara, selain mewujudkan suasana sambutan lebih inklusif kepada rakyat, khususnya di negara ini.

Pada masa sama, sambutan berkenaan dilihat sebagai titik perpaduan dan kebersamaan seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit mempertahankan negara, selari dengan semangat ‘Sayangi Malaysiaku’.

Sebelum itu, berangkat mencemar duli pada acara perbarisan dan perarakan ialah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong XV Sultan Muhammad V.

Hadir sama Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejurus tiba, Sultan Muhammad V menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan pasukan Kawalan Kehormatan Utama dan serentak itu 14 das tembakan kehormat turut kedengaran daripada 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja, diketuai Mejar Asri Che Wil.

Dataran Putrajaya kemudiannya bergema dengan nyanyian lagu Negaraku yang mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang, bacaan Ikrar Rukun Negara diketuai Putera Maktab Tentera Diraja dan diiringi laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali serta persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku’.


Pengarang :