BERITA UTAMASELANGOR

ADN Seri Setia meninggal dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OGOS: EXCO Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin disahkan meninggal dunia, pada jam 6.28 petang, di Hospital Putrajaya.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kanannya, Zafrullah Aris melalui satu kenyataan media petang tadi.

Katanya, jenazah Allahyarham yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu akan dibawa pulang ke rumahnya, di Desa Pinggiran Putra, Kajang selepas maghrib.

“Sementara urusan pengebumian akan dilakukan esok,” katanya.

Katanya, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Kampung Limau Manis dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerusi Twitter mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Saya telah menerima khabar sedih dan dukacita, sahabat saya Prof Shaharuddin meninggal dunia jam 6.28 petang tadi di Hospital Putrajaya.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Kehilangan yang besar buat Kerajaan Selangor,” tulisnya.

Pada 31 Julai lalu, Prof Shaharuddin dinasihati doktor supaya berehat selama sebulan daripada sebarang tugas selepas menjalani rawatan.

Dilaporkan Allahyarham menderita sakit kanser kolon.

Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, Prof Shaharuddin menang di kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi.


Pengarang :