BERITA UTAMASELANGOR

Ahli Majlis MPSJ calon DUN Balakong

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OGOS: Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Wong Siew Ki akan menjadi calon untuk bertanding, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, pada September ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, nama Siew Ki dicadangkan pemimpin DAP Selangor ekoran kerja yang dilakukannya di peringkat akar umbi.

“Beliau turut membantu kami menghasilkan bahan kempen untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei lalu.

“Selain itu, kami mahu memberi peluang kepada ahli wanita untuk menjadi calon,” katanya selepas membuat pengumuman itu, di ibu pejabat DAP, hari ini.

Sementara itu, Siew Ki berjanji akan meneruskan legasi Eddie Ng Tien Chee untuk menambah baik keadaan, di DUN Balakong.

“Saya akan pergi ke setiap rumah dan melawat pengundi untuk lebih memahami keperluan mereka.

“Lagipun kita ada masa lebih 20 hari untuk berkempen dan berjanji melakukan terbaik serta tidak menghampakan pengundi Balakong,” katanya.

Kerusi DUN Balakong kosong selepas Adunnya,Eddie Ng maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Pada PRU14 lalu, Ng mengalahkan calon MCA, Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.


Pengarang :