SELANGOR

Aktiviti tasik jadi tarikan Hari Keluarga UNISEL

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 OGOS: Aktiviti tasik antara tarikan utama program Hari Keluarga Universiti Selangor (UNISEL) yang berlangsung di kampus induk Bestari Jaya, pada 3 dan 4 Ogos lalu.

Program disertai lebih 1,000 kakitangan termasuk keluarga masing-masing itu menyaksikan seramai 30 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan memancing, ‘paddle boat’ dan ‘jet ski’.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, program itu adalah sebahagian daripada acara tahunan universiti bagi mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan, khususnya dalam kalangan staf dan kakitangannya.

“Program Hari Keluarga tahun ini merupakan penganjuran kali ketiga, setelah dua edisi sebelumnya pada 2016 dan 2017 mendapat sambutan luar biasa daripada kesemua kakitangan UNISEL.

“Selain dapat mengeratkan hubungan, ia juga mampu merapatkan ukhwah sesama kakitangan dan ahli keluarga masing-masing.

“Justeru, saya mencadangkan supaya aktiviti kekeluargaan seperti ini akan lebih kerap dijalankan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Selain aktiviti tasik, pelbagai acara lain turut dipertandingkan seperti sukaneka keluarga, aktiviti kanak-kanak mengikut kategori umur, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan karaoke.

Program itu berakhir dengan upacara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah serta jamuan makan.


Pengarang :