BERITA UTAMASELANGOR

Amalan integriti beri imej positif terhadap PKNS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OGOS: Prinsip integriti yang diamalkan dalam urusan perniagaan menjadi bukti ketelusan dan komitmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sekali gus memberi tanggapan baik terhadap anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, amalan urus tadbir korporat terbaik boleh memberikan kesan kepada prestasi organisasi untuk jangka masa pendek dan panjang.

Katanya, PKNS terus mencari ilmu, berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi memperbaiki ruang sedia ada.

“Ini dibuktikan dengan penganjuran Konvensyen Integriti secara dwi tahunan bagi menyebarluas capaian perkongsian dan kesedaran kepada masyarakat serta organisasi dalam industri,” katanya pada Konvensyen Integriti kali ke-5 anjuran PKNS. di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Beliau berkata, isu integriti seperti amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan bukan perkara baru, bahkan ia berisiko berlaku termasuk kepada syarikat kecil.

“Bagi mengelakkan perkara ini berlaku di PKNS, kami mengambil inisiatif menubuhkan Bahagian Pengurusan Organisasi dan Integriti bagi memperkasakan sistem semak dan imbang dalam setiap prosedur kami.

“Sebagai pelaksanan integriti, PKNS menjadi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri pertama, di Malaysia mengamalkan Sistem Integriti Korporat yang memberi kesan terhadap penambahbaikan prosedur operasi dan prosedur operasi standard di semua bahagian di PKNS,” katanya.

Konvensyen Integriti kali ke-5 dengan tema ‘Konvensyen Integriti dan Tadbir Urus Korporat Terbaik’ menerima lebih 400 penyertaan selain menampilkan beberapa pakar dalam bidang tadbir urus korporat serta ekonomi, di Malaysia.

Ia memberikan tumpuan terhadap isu semasa rasuah dan integriti selain penambahbaikan berterusan tadbir urus korporat dalam sektor awam serta swasta.

Perbincangan juga menyentuh pemerkasaan tadbir urus korporat melalui Sistem Pengurusan Anti-Rasuah atau Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO370001, perkongsian amalan terbaik integriti di jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta.


Pengarang :