GLOBAL

Amerika guna ‘ugutan murahan’ campur tangan di Palestin

RAMALLAH 26 OGOS: Pentadbiran Presiden Donald Trump menggunakan ‘ugutan murahan’ terhadap penduduk Palestin, mendedahkan niat sebenarnya dengan memotong lebih AS$200 juta (RM818 juta) bantuan kepada Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Pegawai Jabatan Negara berkata kelmarin bahawa keputusan itu, yang dibuat atas ‘arahan presiden’, diambil selepas penilaian semula kepada wilayah Palestin berkenaan.

Dana itu kini disalurkan kepada projek di tempat lain.

Ketua Setiausaha Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat, berkata keputusan itu adalah pengakuan mengenai niat sebenar dasar bantuan AS untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman orang lain.

“Bantuan AS bukan pemberian kepada penduduk Palestin tetapi tugasan komuniti antarabangsa untuk mengambil tanggungjawab bagi kelangsungan pencerobohan Israel, menyekat pembangunan ekonomi dan masyarakat Palestin.

“Dengan memotong bantuan kepada penduduk Palestin, AS sekali lagi mengesahkan ia tidak mengendahkan komitmen antarabangsanya,” kata Erekat.

Anggota jawatankuasa eksekutif PLO, Hanan Ashrawi, menuduh AS menggunakan ‘ugutan murahan sebagai alat politik’.

“Penduduk dan kepemimpinan Palestin tidak akan terancam dan mengaku kalah kepada ugutan itu.

“Hak rakyat Palestin bukan untuk dijual,” katanya.

SUMBER: AFP


Pengarang :