PENDIDIKANSELANGOR

Amirudin lancar Projek Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, melancarkan Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’, di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, di sini, semalam.

Projek pembudayaan ilmu itu antara aspirasi Kerajaan Negeri ke arah mengangkat karya besar dunia seperti falsafah, islamik, sastera dan biografi.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, Kerajaan Negeri mendukung sepenuhnya pelaksanaan program berkenaan yang disifatkan sebagai satu usaha merancakkan aktiviti penterjemahan karya antarabangsa juga tempatan.

“Dua organisasi di bawah siri pencerahan ini termasuk IBDE Ilham yang berperanan menerbit dan menterjemahkan karya besar dunia, manakala Nusantara Audiobook menterjemahkan buku cetak ke dalam bentuk digital audio.

“Ia difikirkan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan, khususnya kepada generasi muda dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, lebih 1,000 naskhah buku dalam bentuk penterjemahan sudah dicetak dan diterbitkan, setakat ini.

“Setiap satu keluaran akan diterjemahkan dan seterusnya diedarkan di perpustakaan termasuk semua sekolah serta agensi kerajaan di Selangor sebagai galakan kepada mereka untuk membudayakan ilmu melalui pembacaan.

“Untuk semua 22 buku itu, ia diterjemahkan dalam tempoh dua tahun, manakala kadar terjemahan yang dimiliki juga banyak seperti karya arab (Imam Al-Ghazali) dan bahasa Inggeris (Nekad: Potret Kehidupan Sir Onn Jaafar).

“Selepas ini, kita akan memperbanyakkan lagi terjemahan disusuli dengan perbincangan terhadap buku terbabit kepada umum supaya minat membaca semakin bercambah,” katanya.

Terdahulu, program itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Hadir sama, pengarang buku ‘Islam di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren dan Tareqat’ Prof Martin van Bruinessan serta Pengarang buku ‘Nekad’, Pamela Ong Siew Im.

 


Pengarang :