SELANGOR

Amirudin lawat tiga keluarga mangsa kebakaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 18 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melawat tiga keluarga mangsa kebakaran di Kampung Melayu Wira Damai, pada 16 Ogos lalu.

Katanya, dia menggesa supaya bantuan segera diberikan memandangkan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

“Sejurus tiba dari Kedah, saya bergegas menziarahi mangsa kebakaran di sini.

“Saya amat bersimpati dengan nasib keluarga mangsa kebakaran yang kehilangan rumah dan harta benda mereka,” katanya yang turut ditemani Pegawai Daerah Gombak, Dato Amirul Azizan.

Sementara itu, Pengurus Operasi Bahagian Promosi dan Sumbangan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Md. Ariffin Jaafar berkata, pihaknya menyerahkan sumbangan barang keperluan asas dan wang tunai kepada semua keluarga mangsa kebakaran tersebut.

Katanya, bantuan itu merupakan inisiatif YIDE bagi meringankan beban setiap mangsa terjejas.

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban, program ini merupakan aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) YIDE kepada masyarakat setempat khususnya masyarakat di Selangor,”katanya.

Selain memberi bantuan bencana, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di Selangor dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan, bantuan pendidikan.

YIDE juga menawarkan perkhidmatan Rawatan Hemodialisis.


Pengarang :