NASIONAL

Anwar bertegas nafi klip suara daripada beliau

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 2 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau mengeluarkan kata-kata kesat berhubung penyebaran satu klip suara yang didakwa mirip suaranya dan menyifatkan ia tidak berasas.

Katanya, gaya bahasa ucapan dalam klip itu bukan menggambarkan dirinya apatah lagi menggunakan perkataan ‘barua’.

“Itu bukan suara saya. Saya tidak gunakan bahasa kesat sebegitu, barua bukan bahasa saya, jangan terpengaruh dengan fitnah

“Saya tidak memberikan sebagai ucapan selepas pengumuman (Ahli Lembaga Pengarah) KHAZANAH kecuali di Sungai Kandis.

“Garang-garang saya, istilah barua saya tidak pakai,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tidak mempunyai maklumat sama ada klip itu dikeluarkan oleh musuh politik atau sebaliknya.

Klip suara yang didakwa mirip Anwar muncul hari ini namun dinafikan pimpinan KEADILAN lain termasuk Presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Klip audio itu turut berkait keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai Khazanah Nasional Berhad susulan peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan itu pada 26 Julai lalu.


Pengarang :